Zuraida mendengar penerangan di ruang pameran di Persidangan dan Pameran Bandar Pintar Asia 2019 di KLCC hari ini. Foto Bernama


PROJEK Perumahan Rakyat (PPR) akan dijenamakan semula dengan konsep baru bagi memberikan kediaman lebih selesa sekali gus meningkatkan moral penghuninya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, penjenamaan semula itu pada asasnya dengan rumah yang lebih besar di kawasan strategik.

Walaupun dijenamakan semula, katanya, rumah mampu milik itu masih diperuntukkan kepada golongan berpendapatan rendah atau B40.

“Memang kita jenamakannya semula daripada nama semasa PPR tu kita jadi rumah mampu milik. Kita ada nama, tapi saya tak mahu beritahu sekarang.

“Penjenamaan semula sebab rumah mampu milik pada asasnya lebih besar, 900 kaki persegi, ada kemudahan dan terletak di kawasan strategik.

“Ia konsep berbeza dengan PPR yang lama...kita mahu meningkatkan moral mereka (penghuni),” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Bandar Pintar Asia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Smart Cities Asia 2019, Selva Nagappan.

Persidangan dua hari itu membabitkan penyertaan dan pembentangan oleh delegasi dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Zuraida berkata, beliau berharap persidangan itu memberikan idea lebih baik kepada Malaysia dalam perancangan dan pembangunannya ke arah bandar pintar.

Menurutnya, pihaknya juga akan memulakan dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) bagi memastikan jalan tidak lagi bergelap sekali gus meningkatkan tahap keselamatan rakyat dengan kajian rintis di Ampang, Selangor.

Katanya, masyarakat perlu bersedia dengan konsep bandar pintar kerana jika tidak ia hanya akan menyebabkan vandalisme dan membazirkan wang.

“Apabila kita bercakap mengenai tandas pintar di negara lain seperti Jepun dan Korea, ada mangkuk tandas pintar kan, dekat sini kalau letak mangkuk tandas pintar tu habis jahanam.

“Rakyat tidak bersedia. Kita tidak boleh buat apabila kata nak buat, kena pastikan betul-betul seperti saya tekankan dalam jawatankuasa pembangunan, kita perlu menanam semula kebiasaan yang baik sebelum kita ingin memperkenalkan teknologi baru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 9:05 PM