ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


BANGUNAN Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang dalam binaan di Lorong Haji Hussein 2, Kampung Baru, Kuala Lumpur terbakar, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.42 petang.

“Seramai 60 anggota bersama 10 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa, BBP Sentul, BBP Hang Tuah, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Setapak dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati kebakaran itu membabitkan menara penyejuk di tingkat sembilan bangunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kebakaran itu menyebabkan tingkat berkenaan musnah sepenuhnya dan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh beberapa minit, sebelum api padam pada 7.21 malam.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya yang memberitahu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut hadir untuk bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 9:27 PM