Laporan portal berita Harian Metro hari ini.


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemergian bekas presiden ketiga Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie sebagai satu kehilangan besar.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Takziah kepada keluarga serta seluruh warga Indonesia di atas pulangnya ke rahmatullah Bapak BJ Habibie.

“Sesungguhnya pemergiannya satu kehilangan besar. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah,” ciap beliau menerusi akaun Twitter, malam ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerusi catatan Facebook berkata, Allahyarham adalah tokoh negarawan yang mengangkat agenda reformasi dalam arus pemerintahannya.

“Antara kata-kata nasihat Allahyarham adalah: ‘Kalau bukan anak bangsa ini yang membangun bangsanya, siapa lagi? Jangan saudara mengharapkan orang lain yang datang membangun bangsa kita’.

“Semoga Allah SWT merahmati roh Allahyarham dan menempatkannya di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

BJ Habibie meninggal dunia di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto berikutan pelbagai masalah kesihatan dialaminya.

Menurut anak lelakinya, Thareq Kemal yang dipetik media tempatan, bekas presiden itu meninggal dunia 6.01 petang waktu Indonesia Barat, selepas menjalani rawatan intensif oleh pasukan Doktor Kepresidenan Indonesia selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 1 September lalu.

BJ Habibie, 83, adalah presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.

Pada Mac tahun lalu, BJ Habibie menjalani rawatan intensif di Munich, Jerman akibat pelbagai komplikasi berkaitan jantung, paru-paru dan ‘asphyxia’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 10:08 PM