AHLI keluarga Median Sandra tidak dapat menahan sebak dengan kejadian menimpa mangsa di Bilik Forensik Hospital Kemaman, hari ini. FOTO Rosli Ilham.


“SEBELUM ini tiada apa yang pelik terjadi pada anak saudara termasuk meroyan, tapi saya ada dengar dia bercakap sesuatu tidak masuk akal.

“Sehingga saat ini saya tak pasti apa yang dia (ibu mangsa) lakukan terhadap bayinya sehingga meninggal dunia,” kata seorang ahli keluarga kepada bayi perempuan berusia tiga bulan, Median Sandra Mohd Saddle, yang maut dipercayai didera ibu kandungnya di Bandar Baru Cheneh, Kemaman, hari ini.

Ahli keluarga itu berkata, dia mendapat maklumat berhubung kejadian selepas menerima panggilan daripada adiknya yang memaklumkan Median Sandra berada di Klinik Kesihatan Cheneh dalam keadaan tenat pada 10.30 pagi.

Katanya, susulan itu dia bergegas ke klinik berkenaan, tetapi tidak dibenarkan masuk ke bilik kecemasan untuk melihat keadaan bayi berkenaan.

“Saya tak sangka perkara itu boleh berlaku kepada kepada Madian Sandra.

“Selepas melahirkan bayi sulung itu, ibu mangsa pulang berpantang di rumah ibunya di Besut dan dalam tempoh dua hari berpantang, suaminya berusia 27 tahun membawa pulang anaknya itu untuk dijaga di Cheneh.

“Saya beberapa kali melawat ibu dan bayi itu ketika dalam pantang, tetapi tidak nampak apa yang pelik termasuk meroyan atau sebagainya.

“Cuma saya pernah dengar dia ada bercakap sesuatu yang tidak masuk akal, tetapi tidak pasti sama ada mengalami sebarang tekanan atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, Madian Sandra sering dibawa pulang ke Besut untuk bertemu dengan ibunya sepanjang dua bulan lebih berada bawah jagaan bapanya.

“Pada masa bekerja, bapanya menghantar Madian Sandra ke rumah pengasuh untuk dijaga.

“Namun sejak dua minggu lalu, ibu bayi berkenaan dibawa pulang ke rumah mereka di Cheneh.

“Saya difahamkan semalam dan hari ini, ibu Madian Sandra tidak mahu anaknya itu dihantar ke rumah pengasuh dan saya tidak sangka perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ibu kepada bayi terbabit mengalami kemurungan.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan setakat ini kami sudah memanggil tiga individu bagi membantu siasatan.

“Kami turut menahan ibu bayi terbabit untuk siasatan lanjut dan perintah reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Kemaman, esok.

“Manakala bedah siasat terhadap bayi akan dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Kemaman, malam ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita berkaitan

'Saya sudah hantar anak ke syurga'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 10:31 PM