Norizuan Shamsuddin


LELAKI warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan di Mahkamah Majistret di sini semalam kerana menceroboh bangunan pelantar minyak di perairan Terengganu, Julai lalu.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Nguyen Van Sang, 26, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 442 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki Bangunan Pelantar Besar Development Platform Alfa milik Syarikat Petronas Cari Gali yang yang digunakan sebagai tempat simpanan gas untuk dibekalkan kepada Pelantar Angsi yang dimiliki syarikat sama.

Perbuatan terbabit didakwa dilakukan oleh tertuduh pada posisi Garis Lintang 05 darjah 08.57 minit Utara, Garis Bujur 1104 darjah 104 darjah 58.30 minit Timur di dalam perairan Terengganu, pada jam 8.30 pagi, 22 Julai lalu.

Dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 442 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 448 akta sama yang membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afiq Taqiudin Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang didapati bersembunyi di dalam bilik di atas pelantar terbabit dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki warga Vietnam terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Susulan itu, tertuduh ditangkap serta dibawa ke Zon Maritim Kemaman untuk tindakan lanjut dan laporan berhubung tangkap turut dilakukan di Balai Polis Chukai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:01 AM