ANGGOTA APM memeriksa keadaan rumah mangsa yang runtuh.
Garret Dawum


SERAMAI 14 sekeluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Kampung Jeriah di sini, runtuh malam kelmarin.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu, Kapten (PA) Frankie John Jawan berkata, ketika kejadian jam 12 tengah malam itu, beberapa penghuni sedang tidur nyenyak dan segelintir masih menonton televisyen.

“Rumah itu milik seorang lelaki berusia 53 tahun. Ketika kejadian, dia bersama penghuni lain terdiri daripada isteri, anak, menantu dan cucu yang berusia dua hingga 52 tahun.

“Akibat runtuhan, rumah kayu satu tingkat itu mengalami kerosakan teruk dan tidak selamat didiami,” katanya ketika dihubungi semalam.

Frankie berkata, tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam kes terbabit.

“Setakat ini, keluarga yang terjejas menumpang sementara di rumah saudara-mara mereka yang berhampiran.

“Keluarga terbabit juga sudah menerima Kit Makanan Permulaan (KMP) daripada APM Sibu,” katanya.


ANGGOTA APM menyampaikan bantuan kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:40 AM