ARAH pergerakan angin berdasarkan laman web ASMC.
Mahaizura Abd Malik


MALAYSIA membidas semula kenyataan penafian Indonesia berhubung jerebu yang sedang melanda negara ini bukan berpunca daripada kebakaran hutan dan belukar di republik berkenaan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, Indonesia tidak seharusnya menafikan realiti berkenaan berikutan sememangnya Malaysia diselubungi jerebu yang sumbernya datang dari negara terbabit.

“Siti Nurbaya (Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia) sepatutnya tidak menafikan perkara ini (jerebu dari Indonesia).

“Lihat data terkini Pusat Meteorologi ASEAN (ASMC) terdapat 474 tompok panas di Kalimantan dan 387 di Sumatera tetapi Malaysia hanya tujuh.

“Dakwaannya (Siti Nurbaya) jerebu itu datang dari Sarawak pula sila tengok arah pergerakan angin. Macam mana logiknya ia berlaku,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook, miliknya malam tadi.

Yeo turut memuat naik beberapa keping gambar daripada data ASMC yang jelas menunjukkan jumlah tompok panas di Indonesia dan Malaysia termasuk aliran angin di kedua-dua negara itu bagi membuktikan hujahnya.

Kelmarin, Siti Nurbaya dipetik Kompas.com menafikan Indonesia menjadi punca jerebu yang melanda negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura.

Beliau dilaporkan bakal menghantar surat protes kepada Malaysia kerana tidak berpuas hati Indonesia dituduh menjadi punca utama jerebu.

Jelasnya berdasarkan pemantauan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia, asap dari kebakaran itu hanya melintasi sempadan selama satu jam, pada Ahad lalu.

“Asap yang masuk ke Malaysia ke Kuala Lumpur itu dari Sarawak dan kemudian dari Semenanjung Malaysia dan mungkin sebahagiannya dari Kalimantan Barat.

“Saya akan menulis surat kepada duta Malaysia di Jakarta untuk dipanjangkan kepada menterinya.

“Saya mahu data itu dibetulkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 9:00 AM