Hamzah Osman


POLIS menahan lima individu awal pagi tadi, susulan pergaduhan di jeti Teluk Baru, Jalan Teluk Baru di Langkawi, semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, dua lelaki masing-masing cedera ringan iaitu bengkak di hidung dan pipi, selain luka dahi.

Video berdurasi enam minit 25 saat berkaitan kejadian itu tular dalam media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek, empat lelaki dan seorang wanita, berusia antara 24 dan 50 tahun ditahan, 1 pagi tadi

“Siasatan awal mendapati kejadian akibat selisih faham berkaitan urusan tempahan aktiviti lawatan ke beberapa pulau (island hopping) antara sekumpulan pelanggan dan kakitangan syarikat pelancongan.

“Berikutan itu, berlaku pertengkaran mulut kedua-dua pihak sehingga menyebabkan tercetus insiden tumbuk-menumbuk membabitkan kira-kira 30 individu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, keadaan di tempat kejadian menjadi tegang apabila ada suspek mengambil kayu untuk memukul lawan.

Bagaimanapun, tiada senjata berbahaya digunakan.

“Hasil soal siasat, kelima-lima suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan tahanan reman ke atas mereka akan dibuat hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 10:26 AM