MAS Imran menyampaikan sumbangan kepada Farhana sambil disaksikan oleh Zainon (berdiri).
Mary Victoria Dass


“MEMANG kami hidup berjimat dan kadang kala saya hanya mampu membeli sekilogram beras dan memasak lauk sayur, sekurang-kurangnya cucu saya tidak kebuluran,” kata Zainon Ali.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul dan begitulah tanggungjawab seorang nenek berusia 60 tahun yang terpaksa bekerja sebagai pembantu Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Meskipun rakan seusia sibuk menguruskan keperluan diri, namun tidak bagi Zainon Ali kerana perlu menyara anak perempuan berstatus ibu tunggal dan empat cucu, termasuk dua daripadanya yang mengalami masalah kesihatan.

Zainon berkata, dia bukan saja menyara anak kelimanya, Farhana Shuratman, 31, malah menyara empat cucu lelakinya, Danish Ayqal, 8, Aryan Qhursyi, 7, Ziyad Hakiki, 4, dan Muhammad Faiq Farhan Ruzaini, setahun enam bulan di kediaman keluarganya di Jalan Anggerek Putih, Kampung Desa Jaya, Majidee di Johor Bahru.

Menurutnya, dua daripada cucunya mengalami masalah kesihatan, termasuk Muhammad Faiq adalah pesakit sawan kerana dilahirkan sebagai bayi pramatang selain Danish Ayqal adalah pesakit disleksia atau kecacatan pelbagai iaitu masalah emosi, komunikasi dan pendengaran.

Katanya, cabaran dialaminya adalah menyara anak dan empat cucu dengan bergantung sepenuhnya kepada elaun bulanan RM500.

“Farhana yang sudah bercerai dengan suaminya baru-baru ini tidak mampu bekerja tetap berikutan anak bongsunya kerap dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) apabila diserang sawan.

“Namun, Farhana turut membantu untuk menambah pendapatan keluarga dengan menerima tempahan membuat kuih-muih selain bekerja sambilan di Dewan Banquet di beberapa hotel di sekitar bandar raya (Johor Bahru) ini.

“Saya cuba membantunya bagi menyiapkan tempahan kuih-muih selepas pulang ke rumah dan sekiranya dia terpaksa menemani anak bongsu di hospital, saya mengambil alih memberi jagaan kepada anaknya yang lain,” katanya.

Zainon berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai dugaan, dia bersyukur kerana dikurniakan kesihatan baik bagi memikul tanggungjawab mengisi perut anak dan cucu.

“Saya bersyukur kerana masih mampu bergerak aktif pada usia seumpama ini dan selagi dikurniakan kesihatan baik, sekiranya ada peluang untuk menambah pendapatan keluarga, saya sanggup menyahut cabaran kerana saya sedar anak dan cucu tiada tempat bergantung yang lain.

Farhana berkata, demi meringankan beban ibunya, dia turut memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Saya menerima surat menyatakan permohonan saya sudah diluluskan dan bakal menerima bantuan tidak lama lagi.

“Saya bersyukur dengan bantuan berkenaan dan berasa bertuah kerana memiliki ibu yang penyayang dan amat prihatin dengan nasib baik.

“Hanya Allah mampu membalas jasa ibu,” katanya ketika menerima sumbangan barangan dapur bernilai RM1,000 daripada Pasaraya Econsave Cash And Carry.

Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 3:09 PM