FOTO hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


“KALAU perkara menyalahi undang-undang tak perlu kongsi kepada umum. Artis atau selebriti kena ingat apa yang mereka lakukan akan menjadi ikutan,” kata Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi mengenai tindakan segelintir artis dan selebriti melakukan modifikasi motosikal menyalahi undang-udang.

Katanya, video motosikal sudah menjalani modifikasi dan didakwa membabitkan kos mencecah ribuan ringgit tular di media sosial hingga menjadi ikutan peminat kenderaan dua roda itu di negara ini.

Ismail berkata, sebagai individu sentiasa menjadi perhatian umum, artis dan selebriti sepatutnya menunjukkan contoh serta teladan baik.

“Sekarang ini timbul persepsi kononnya kami tidak ambil tindakan terhadap artis atau selebriti melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Tanggapan ini tak betul. Kalau anggota kami jumpa ada atas jalan raya, kami akan ambil tindakan. Kami tak kira siapa kalau salah kami akan ambil tindakan.

“Sebelum ini pun sudah ada artis dikenakan tindakan berkaitan cukai jalan dan baru-baru ini, ibu pejabat kami memanggil seorang artis untuk arah periksa kerana motosikal miliknya menggunakan nombor ‘fancy’ (tidak mengikut spesifikasi),” katanya ketika ditemui di pejabatnya di JPJ Kuala Lumpur, semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan JPJ Kuala Lumpur akan mengambil tindakan kepada semua pemilik motosikal dikesan melakukan modifikasi dan tidak mensasarkan motosikal Yamaha Y15ZR atau ‘Ysuku’ saja.

JPJ sudah mengeluarkan 1,222 saman atas kesalahan ubah suai kenderaan bagi tempoh Januari hingga Julai lalu.

Daripada jumlah itu, 547 saman dikeluarkan terhadap motosikal dikesan melakukan kesalahan.

Bagi setiap kesalahan ubah suai membabitkan komponen akan dikenakan kompaun RM150 mengikut Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan larangan bagi kenderaan motor yang tidak mematuhi kaedah lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:27 PM