PIKAP dinaiki Francisco (gambar kecil) yang maut selepas tercampak dari bahagian kargo. FOTO IHSAN PDRM
Garret Dawum


SEORANG lelaki warga Sepanyol maut selepas tercampak dari ruang terbuka bahagian belakang pacuan empat roda dinaiki di Jalan FAC Matang, Padawan, petang semalam.

Mangsa, Francisco Javier Fernandez De Lascoiti Mateo, 28, disahkan meninggal dunia di hospital swasta selepas lebih tiga jam bertarung nyawa akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian jam 4 petang dipercayai berlaku ketika Toyota Hilux dinaiki mangsa bersama tiga lagi lelaki dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Kampung Telaga Air.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang duduk di ruang terbuka bersama seorang lelaki tergelincir dan terjatuh di atas jalan raya.

“Akibatnya, mangsa mengalami pendarahan di kepala dan dihantar ke hospital swasta sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alexson berkata, mayat mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala pemandu berusia 34 tahun serta dua penumpang masing-masing berusia 34 dan 57 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pihak kedutaan Sepanyol dan keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kemalangan ini.

“Keluarga mangsa difahamkan dalam perjalanan ke Kuching dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 7:36 PM