Sebahagian wanita yang ditahan dibawa masuk ke kenderaan JIM selepas serbuan di sebuah hotel di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam. Foto Ihsan JIM
Mohd Azam Shah Yaacob


SINDIKET pelacuran menawarkan wanita Vietnam, China, Laos, Indonesia dan Thailand sebagai teman ranjang yang beroperasi di sebuah hotel di Jalan Ipoh tumpas selepas diserbu Unit Risikan dan Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur semalam.

Dalam serbuan menerusi Ops Bersepadu bermula 7 malam itu, JIM berjaya menahan 14 pelacur dan tiga lelaki warga asing serta tiga lelaki tempatan.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Hamidi Adam berkata, kesemua pelacur berkenaan berusia 20 hingga 30 tahun menawarkan khidmat seks termasuk merasai pengalaman sebagai teman wanita (GFE) dengan bayaran antara RM200 hingga RM750.

Menurutnya, sindiket itu pernah diserbu tetapi masih lagi beroperasi dan kali ini dengan kawalan tonto.

“Sindiket yang beroperasi di tingkat lapan, sembilan dan 12 selain di spa di tingkat enam itu menggunakan aplikasi Wechat bagi mempromosikan khidmat seks ditawarkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, JIM terpaksa menggunakan ‘master key’ selain memecahkan pintu beberapa bilik yang menjadi tempat persembunyian pelacur berkenaan dalam serbuan membabitkan 20 pegawai itu.

Menurutnya, dalam operasi itu juga JIM menahan wanita yang sedang asyik melayan pelanggan dalam bilik hotel masing-masing.

“Tiga lelaki tempatan yang ditahan itu dikesan bertindak sebagai kapten yang menguruskan urusan khidmat pelacuran antara wanita warga asing berkenaan dengan pelanggan.

“Wanita warga asing berkenaan ditahan mengikut Peraturan 39(b) peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dan permit selepas mereka menyalahgunakan pas lawatan sebaik masuk ke negara sebagai pelancong,” katanya.

Menurutnya lagi, JIM turut mengeluarkan dua notis saman kepada pengurusan hotel berkenaan kerana membenarkan kegiatan sundal dijalankan di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 8:04 PM