Pihak pengurusan Sekolah Rendah Agama Integrasi Kafa Al-Maaruf Johan Setia, Klang menampal notis penutupan sekolah hari ini. Foto Faiz Anuar
Nur Lela Zulkipli


DUA puluh sembilan sekolah di Klang dan Kuala Langat ditutup esok kerana jerebu.

Jumlah itu termasuk lima sekolah di Klang yang diarah tutup pada hari ini.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan penutupan itu membabitkan seramai 45,265 pelajar keseluruhannya.

Menurutnya, ia membabitkan pecahan 38,217 bagi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang dan selebihnya iaitu seramai 7,048 bagi kawasan PPD Kuala Langat.

“Bagi kedua-dua PPD ini, bilangan sekolah yang ditutup masing-masing adalah 16 sekolah kebangsaan, tujuh sekolah menengah kebangsaan dan tiga masing-masing untuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya.

JPNS turut mengingatkan pihak sekolah menutup sekolah serta-merta sekiranya bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan mereka melebihi bacaan 200 mengikut Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 1/2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 9:49 PM