NORSAFIDAWATTI bersama suami dan tiga anak mereka.
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA buntu mencari wang membeli ubat suntikan kanser yang disarankan doktor sebanyak RM50,000 sedangkan saya tak bekerja dan suami pula hanya bekerja sendiri,” kata Norsafidawatti Mohd Zuki, 33.

Surirumah itu dikesan menghidap kanser kelenjar limfoma tahap empat sejak 2014 selepas melahirkan anak kedua, Muhammad Adrian Rifqi Mohamad Hafizh, 4.

Ketika itu dia kerap demam dan batuk, namun hanya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Tiang selain rawatan tradisional.

Katanya, dia mengesyaki sesuatu apabila menyedari ada benjolan di leher sebesar buah pinang menyebabkan dia merujuk kes itu ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

“Doktor mengambil sampel darah untuk mengetahui penyakit saya dan dimaklumkan menghidap kanser dua bulan kemudian.

“Sejak itu, kesihatan saya merosot sehingga berat badan berkurangan daripada 40 kilogram (kg) kepada 30kg, malah saya tak larat nak buat kerja rumah,” katanya di rumahnya di Kampung Kebun 4 Relong, Sungai Tiang, semalam.

Norsafidawatti berkata, dia kerap menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi di HSB.

Doktor turut memberi ubat kanser supaya bertahan dan mengesahkan penyakit itu kini merebak ke jantung dan paru-paru.

“Doktor pakar cadangkan saya mengumpul wang sebanyak RM50,000 untuk membeli dos suntikan kanser, tetapi saya tak mampu.

“Pendapatan suami (Muhamad Hafizh Abd Rashid, 33) tidak menentu untuk menyara kami sekeluarga termasuk tiga anak berusia antara setahun dan enam tahun,” katanya.

Norsafidawatti berkata, dia memang nampak sihat, tetapi tidak mampu melakukan kerja seperti biasa malah kini bergantung pada ihsan keluarga dan suami untuk melakukan kerja rumah.

“Saya berharap ada pihak dapat membantu membolehkan saya membayar kos suntikan ubat kanser itu.

“Saya hanya bergantung pada wang bulanan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) RM300 sebulan,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB 7610310151 Norsafidawatti atau akaun Maybank 162405005663 Mohamad Hafizh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 6:00 AM