X
ANGGOTA polis marin menunjukkan kanvas yang digunakan untuk menutup kesan tayar lori.
ANGGOTA polis marin menunjukkan kanvas yang digunakan untuk menutup kesan tayar lori.
Izlaily Nurul Ain Hussein


UPAH khidmat tonto atau ‘jaga air’ bagi mengintip pergerakan pihak berkuasa sebelum menggunakan lori bagi memunggah rokok seludup dari lokasi rahsia di tepi pantai.

Malah, bagi mengelak lubuk rahsia dihidu, pihak sindiket turut menggunakan taktik menutup laluan tanah merah menggunakan kanvas sepanjang 60 meter bertujuan memadam jejak kenderaan berat itu.

Itu antara taktik terbaharu digunakan Sindiket Tanjung Kelisa yang sudah masuk kali ketiga diberkas polis sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket itu terbongkar sekali lagi apabila berjaya diintip dan diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor di kawasan hutan berhampiran pantai Tanjung Kelisa, Bandar Penawar, Kota Tinggi, jam 2.30 pagi semalam.

Timbalan Komander PPM Wilayah Dua Johor, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, biarpun pasukan polis sudah berada di lokasi yang agak tinggi dan jauh namun kelibat tonto yang ramai berjaya menghidu kehadiran polis dan hasilnya polis hanya berjaya membuat rampasan 157,000 paket rokok kretek tidak sah yang ditinggalkan bersama lori.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah menutup laluan tanah merah dari jalan besar (bertar) ke arah pantai yang dilalui lori.

“Sebaik lori melalui jalan itu, ahli sindiket akan menggunakan alatan menyapu dan mencuci lantai untuk meratakan semula tanah dan menutupnya menggunakan kanvas bagi menghilangkan kesan tayar lori.

“Jarak dari jalan besar ke pantai adalah sejauh tiga kilometer dan mereka akan mengulangi cara sama menggunakan kanvas bagi mengelakkan kesan tayar lori itu ditinggalkan di laluan tanah merah berkenaan,” katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua Johor, semalam.

Beliau berkata, sebaik pasukan serbuan menemui lori berkenaan, rokok kretek tidak sah yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran, Indonesia ditemui dalam lori itu.

“Rokok itu dikesan baru dipunggah dari pantai untuk dibawa keluar bagi dijual di pasaran tempatan.

“Semua rokok tidak sah pelbagai jenama itu dianggarkan bernilai RM2.7 juta termasuk cukai manakala lori tiga tan yang disita dianggarkan RM90,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM2.79 juta,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut kes masih dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 6:40 AM