KEADAAN Pelabuhan Klang yang berjerebu, semalam. FOTO Faiz Anuar.
BERNAMA

KERAJAAN Selangor mengambil ketetapan untuk melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan berjerebu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, iaitu tahap sangat tidak sihat.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna negerinya Hee Loy Sian berkata, langkah itu dipersetujui semasa Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) semalam.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah dan negeri juga diaktifkan apabila IPU mencatatkan bacaan antara 151 hingga 200 iaitu tahap tidak sihat melebihi 24 jam selain kerajaan negeri akan membekalkan dust mask kepada orang awam.

“Semua sekolah, tadika dan taska diarah tutup dengan serta merta apabila IPU mencatatkan bacaan melebihi 200 setelah mendapat pengesahan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

“Bagi menangani isu pembakaran terbuka dan jerebu yang melanda Selangor kini, kerajaan negeri akan menggunapakai Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan tidak melakukan pembakaran terbuka ketika musim jerebu kini.

“Orang ramai diminta bekerjasama memadamkan kebakaran kecil serta melaporkan kes-kes kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

“Semua pihak juga digesa supaya tidak membiarkan tanah atau premis mereka dimasuki dan dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlaku pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja,” katanya.

Tegas Hee, mana-mana pihak didapati melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Katanya, kompaun maksimum berjumlah RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Pihaknya juga menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah dan sentiasa mengikuti perkembangan maklumat kualiti udara semasa melalui laman web JAS atau aplikasi ‘Mobile Indeks Pencemaran Udara’ atau MyIPU yang boleh dimuat turun di telefon pintar.

Menurut laman web JAS setakat 7 pagi ini, IPU di Johan Setia, Klang menunjukkan bacaan sangat tidak sihat iaitu 209, manakala lima lagi kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Shah Alam (133), Klang (124), Banting (122), Petaling Jaya (135), dan Kuala Selangor (109).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 8:14 AM