FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


BURUH warga India dihukum penjara 13 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, tahun lalu.

Hakim Noradura Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap N Balu, 44, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Dalam keputusannya, Noradura berkata, mahkamah mendapati terdapat percanggahan dalam keterangan tertuduh terutamanya mengenai tarikh kejadian.

“Dalam keterangannya, tertuduh memberitahu pertama kali dia berjumpa mangsa 9 Disember tahun lalu.

“Bagaimanapun dalam keterangannya juga, tertuduh berkata wanita itu sudah bekerja membersihkan rumahnya sejak dua bulan sebelum tarikh itu.

“Apabila mahkamah mengajukan soalan berkaitan isu itu kepadanya, tertuduh menjawab dia tidak ingat, sedangkan sebelum itu tertuduh dengan konsisten menjawab soalan berkaitan tarikh dia berjumpa dengan mangsa,” katanya.

Selain itu, mahkamah mendapati tertuduh tidak serius ketika memberi keterangan berdasarkan lenggok badan dan cara bercakap yang sambil lewa.

“Mahkamah juga mendapati keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata, tidak berasas dan tiada merit,” katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol wanita berusia 43 tahun empat bulan di sebuah rumah di Jalan Taman Sri Sentosa, Brickfields pada 11 pada 16 Disember 2018.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin manakala tertuduh diwakili peguam Razman Sahat.

Terdahulu, dalam rayuannya Razman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guamnya yang tinggal di Malaysia lebih sembilan tahun.

Farah Adilah bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan dan trauma yang dialami mangsa.

“Tertuduh warga India manakala mangsa warga Indonesia dan kesalahan dilakukan di Malaysia sekali gus mencemarkan nama Malaysia,” katanya.

Sepanjang perbicaraan kes yang bermula 14 Ogos lalu, pihak pendakwaan memanggil 10 saksi manakala hanya tertuduh dipanggil menjadi saksi pembelaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 2:43 PM