Pemandangan berjerebu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini. FOTO L Manimaran
Pemandangan berjerebu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini. FOTO L Manimaran
Mohd Roji Kawi


SEBANYAK 1,528 tompok panas dikesan di Indonesia hari ini dengan 1,307 daripadanya di Kalimantan manakala 221 lagi di Sumatera.

Turut dikesan, 14 tompok panas di Sarawak iaitu lima di Kuching, tiga masing-masing di Sibu dan Kapit, dua di Limbang dan satu di Miri.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, data itu diperolehi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) 12 tengah hari tadi.

Justeru katanya, keadaan di negeri itu dikhuatiri kembali berjerebu jika angin terus bertiup dari arah wilayah Kalimantan, Indonesia.

Beliau berkata, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di 13 Stesen Pengawasan Udara Automatik seluruh negeri mencatatkan bacaan pada tahap sederhana namun sebahagian besarnya semakin menghampiri 100.

“Sehingga 12 tengah hari, Sri Aman mencacat bacaan 82, Kuching (89), Samarahan (74), Sibu (85), Sekolah Kebangsaan Kuala 2 (71), Mukah (75), Miri (72), Bintulu (81), Samalaju (76), Kapit (66), Limbang (78), Sarikei (80) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (73),” katanya.

Berikutan itu, perarakan kereta berhias yang dirancang akan diadakan di Tebingan Kuching sempena sambutan Hari Malaysia, Isnin ini turut bergantung keadaan jerebu dan tahap bacaan IPU.

Jurucakap Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, jika IPU berada pada tahap sederhana atau baik, perarakan itu akan diteruskan mengikut jadual.

“Jika keadaan jerebu pulih, orang ramai dijemput menyaksikan perarakan kereta berhias yang cantik dan berwarna-warni bermula 8.30 malam, 16 September ini.

“Perarakan dijadualkan bermula dari Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan bergerak menuju Bulatan Sri Aman (Padungan), Jalan Central Timur, Jalan Budaya, Jalan Badaruddin Traffic Light, St. Joseph Cathedral, Museum baharu, Padang Merdeka, pejabat Pos kemudian ke Square Tower (Tebingan Kuching), Main Bazaar, Jalan Abell ,Jalan Pending sebelum menamatkan perjalanan di Icom Square,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 3:28 PM