Shamsul Amar (dua dari kanan) menunjukkan pistol serta parang yang dirampas pada sidang media di IPD Klang Selatan. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


DUA lelaki termasuk warga India ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di taman permainan Taman Gembira, Jalan Lintang Duku, Klang 5 September lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian 3.30 pagi itu, pihaknya menerima aduan orang ramai terdapat pergaduhan membabitkan beberapa lelaki.

“Polis berjaya menahan dua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun ketika mereka cuba melarikan diri.

“Kemudian, kita rampas pistol serta lima butir peluru hidup daripada suspek warga tempatan.

“Siasatan mendapati, suspek bersama 10 lelaki ke tempat kejadian untuk berbincang supaya kedua-dua pihak tidak campur tangan dalam urusan pemerasan di kawasan Puchong,” katanya.

Katanya, lelaki tempatan itu yang tidak berpuas hati kemudian mengeluarkan pistol dan memukul seorang lagi lelaki di kepala dengan hulu pistol,” katanya pada sidang media di IPD Klang Selatan hari ini.

Polis turut merampas Proton Waja dan Mercedes, empat parang panjang, empat sarung tangan serta dua pisau kecil.

Shamsul Amar berkata, empat parang panjang yang dirampas itu ditemui di dalam bonet Waja yang dilaporkan hilang di Subang Jaya Julai lalu.

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan suspek itu dipercayai terbabit dengan kumpulan kongsi gelap yang aktif dalam jenayah pemerasan sekitar Klang dan Puchong.

“Bagi tangkapan kes ini, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Polis juga sedang memburu saki baki ahli kumpulan ini yang dipercayai melarikan diri ketika serbuan dibuat,” katanya.

Beliau berkata, suspek warga tempatan itu mempunyai 10 rekod jenayah lampu sejak 2012 sehingga kini membabitkan tiga kes dadah, dua kes samun, dua kes curi kenderaan dan masing-masing satu kes curi, mencederakan menggunakan senjata serta pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 3:41 PM