GAMBAR hiasan
Norizuan Shamsuddin


PEKERJA swasta cedera di kepala selepas ditumbuk bapa saudaranya apabila menegur sikap biadap lelaki berkenaan di Kampung Tukang, Gelugor Kedai di Kuala Terengganu pada Isnin lalu.

Dalam kejadian itu, teguran mangsa yang berusia 21 tahun membuatkan bapa saudaranya ‘naik angin’ sehingga sehingga sanggup mengugut akan mencederakan semua ahli keluarga lain dan disyaki membakar kediaman mereka.

Menurut sumber, kejadian berlaku selepas mangsa menegur secara baik sikap biadap bapa saudaranya sewaktu berada di kediaman keluarga mereka di kampung berkenaan kira-kira 8 malam.

“Difahamkan, mangsa menegur bapa saudaranya yang kerap memaki hamun neneknya yang juga ibu lelaki itu.

“Bagaimanapun, teguran secara baik itu mengundang kemarahan suspek sebelum bertindak menumbuk kepala mangsa sehingga bengkak.

“Tidak cukup dengan itu suspek turut mengugut untuk mencederakan semua ahli keluarga sebelum meninggalkan rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, selang sehari selepas kejadian mangsa dikejutkan dengan panggilan telefon daripada kakaknya memaklumkan sebahagian rumah mereka sudah terbakar.

Katanya, mangsa yang sedang bekerja ketika itu bergegas pulang ke rumah kerana bimbang keselamatan keluarganya.

“Setibanya di rumah, mangsa dapati terdapat longgokan tayar kereta dan cebisan kain sedang terbakar di atas lantai di hadapan rumah.

“Mangsa yakin kebakaran itu adalah berpunca perbuatan khianat yang disengajakan dan disyaki dilakukan oleh bapa saudaranya.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga pada hari sama kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan dan pihaknya sudah menahan suspek berkaitan kes itu.

“Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Tukang, Gelugor Kedai pada 6.40 petang kelmarin.

“Suspek direman untuk disiasat lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 4:52 PM