Keadaan jerebu di Johan Setia yang mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat. FOTO Faiz Anuar
Ekhwan Haque Fazlul Haque


JOHAN Setia di Klang terus mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat untuk tempoh 12 jam bermula 7 pagi hingga 7

malam.

Berdasarkan indeks pencemaran udara (IPU) yang dikeluarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia mencatatkan bacaan 249 dengan trend peningkatan untuk tempoh 10 jam bermula 9 pagi.

Sebanyak 27 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU tidak sihat antara 103 hingga 180 manakala selebihnya menunjukkan bacaan sederhana.

Sehingga hari ini 1,528 tompok panas dikesan di Indonesia dengan 1,307 daripadanya di Kalimantan manakala 221 lagi di

Sumatera.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Berikutan keadaan cuaca yang berjerebu, 29 sekolah di Selangor khususnya di Klang dan Kuala Langat diarahkan tutup

oleh Kementerian Pendidikan.

Operasi penerbangan di Ipoh, Perak dilaporkan tergendala kerana pesawat tidak dapat mendarat dan berlepas kerana jarak penglihatan terhad.

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan operasi pembenihan awan di Selangor akan dilakukan Ahad atau Isnin ini bergantung cuaca dan kelembapan udara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 8:26 PM