PUSAT bandar Tawau berjerebu pada 8 pagi. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


TAWAU menjadi kawasan pertama di Sabah mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 113, setakat 8 pagi hari ini.

Menurut data keluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), ia berbanding semalam yang mana semua kawasan di Sabah mencatat IPU sederhana.

Peningkatan IPU itu dipercayai berpunca daripada titik panas akibat pembakaran terbuka di Kalimantan, Indonesia memandangkan kedudukan Tawau berhampiran wilayah berkenaan.

Sementara itu, penduduk Tawau mengakui aktiviti harian sedikit terjejas berikutan jerebu.

Jurumudi bot penambang, Johari Supardi, 43, berkata, aktiviti membawa penumpang dari Sungai Tongkang ke tanah besar terjejas disebabkan jerebu.

Katanya, kebiasaan penduduk di Pulau Sebatik akan turun ke tanah besar untuk berbelanja terutamanya pada hujung minggu namun jumlah penumpang berkurangan sejak semalam.

“Hari ini operasi membawa penumpang tetap diteruskan seperti biasa walaupun keadaan jerebu dilapor semakin meningkat tetapi kami tetap mengambil langkah keselamatan disebabkan jarak penglihatan yang terhad di laut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 10:05 AM