Skip this ad x
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


KANAK-KANAK lelaki luka di leher dan lebam di belakang badan serta kaki dipercayai akibat didera pengasuh di pusat jagaan kanak-kanak (taska) di Taman Pelangi, Semenyih.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan dibuat ibu mangsa berusia 34 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung kejadian pada 9.55 malam Selasa lalu.

“Dalam laporan itu, wanita berkenaan mendakwa terdapat kesan lebam seperti dicubit di belakang badan serta kedua-dua kaki anaknya yang berusia setahun lapan bulan selepas mengambilnya dari taska terbabit.

“Selain itu, mangsa didakwa luka di leher, namun pihak taska memaklumkan tiada apa-apa berlaku terhadap mangsa. Wanita itu tidak berpuas hati dan membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, kanak-kanak itu mendapat rawatan di Hospital Kajang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nurulhuda Baharuddin daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) di talian 011 26177140 untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 10:37 AM