Siraj Mohd Zaini


WANITA bertindak nekad dengan melanggar kereta dinaiki lima penjenayah demi menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa samun di Taman Sri Bunut, Kuala Langat, kelmarin.

Kejadian kira-kira 11 malam itu berlaku di hadapan rumahnya ketika mangsa berusia 46 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Lexus baru pulang dari pekan Banting.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, mangsa yang ingin memasuki perkarangan rumahnya tiba-tiba didatangi lima suspek menaiki Toyota Vios.

Katanya, empat suspek bertopeng dan bersenjatakan parang keluar daripada kereta dan mengetuk cermin kenderaan mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa bertindak mengundur SUVnya sehingga melanggar kereta suspek di belakangnya.

“Tindakan mangsa menyebabkan semua suspek melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 59 saat yang memaparkan kejadian berkenaan tular di media sosial.

Mengulas lanjut Azizan berkata, mangsa hanya mengalami cedera ringan dan semakan lanjut mendapati kereta penjenayah itu menggunakan nombor pendaftaran palsu milik sebuah motosikal.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 11:25 AM
TURUTAN rakaman CCTV menunjukkan wanita itu berusaha menyelamatkan diri dengan mengundur kenderaannya dan melanggar penjenayah.