ANGGOTA tentera Indonesia memadamkan kebakaran di kawasan gambut di Pekanbaru, Riau. FOTO EPA
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menjelaskan kerajaan Indonesia belum meminta apa-apa bantuan daripada Malaysia khususnya bagi memadam kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera susulan jerebu teruk ketika ini.

Menterinya Yeo Bee Yin berkata, kerajaan Indonesia mempunyai kuasa sepenuhnya untuk memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera.

“Sebelum ini, kami sudah menawarkan bantuan kepada mereka (Indonesia) untuk membantu sekiranya diperlukan. Malah, kita bersedia membantu bila-bila masa jika diperlukan.

“Buat masa ini, belum lagi,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata, kerajaan Indonesia mempunyai kuasa penuh untuk menguatkuasakan undang-undang di negara mereka khususnya berkaitan isu pembakaran hutan di negara itu.

Menurutnya, Indonesia berhak menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sesiapa saja yang terbukti melanggar undang-undang dan berbuat sesuatu yang tidak kena di negara itu termasuk menyebabkan kebakaran hutan.

“ASEAN belum mempunyai sebarang akta berkaitan jerebu rentas sempadan justeru segala penguatkuasaan undang-undang perlu berdasarkan kepada negara berkenaan.

“Berdasarkan laporan yang saya baca, ada banyak lagi syarikat iaitu kira-kira 30 syarikat termasuk dari negara berkenaan (yang didakwa ada kaitan dengan kebakaran hutan di Indonesia).

“Justeru, kita percaya, kerajaan Indonesia perlu buat segalanya yang perlu untuk menyiasat dan mengambil tindakan kepada sesiapa saja yang terbukti melanggar undang-undang dan berbuat sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim menyatakan kebimbangan mengenai penyitaan tanah milik anak syarikat kepada empat syarikat perladangan kelapa sawit milik Malaysia di Indonesia, yang didakwa sebagai punca kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu di rantau ini.

Empat syarikat itu ialah IOI Corporation, Sime Darby Plantation Bhd, TDM Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd.

Sementara itu, katanya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Meteorologi kini sedang bersiap siaga untuk melaksanakan pembenihan awan.

“Apabila sesuai kita akan buat pembenihan awan tetapi ia hanya bersifat sementara saja. Apa yang paling penting ada memadam kebakaran di sana (Indonesia).

“Jika pihak kita dapat masuk, kita perlu padamkan api secepat mungkin. Itu adalah keutamaan sekarang untuk mengatasi masalah jerebu ini.

“Buat masa ini, Indonesia masih belum meminta sebarang bantuan dari kita. Mereka mempunyai kuasa penuh untuk kuatkuasakan undang-undang di negara mereka dan mereka juga mempunyai kuasa penuh untuk memadam kebakaran di negara itu.

“Oleh itu, kita sudah menyampaikan mesej bahawa akan menyokong mereka dalam apa juga cara yang mungkin mereka lihat perlu dan kita bersedia sekiranya mereka memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 3:25 PM