GAMBAR hiasan.
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menyifatkan perbuatan menjual MyKad dan sijil lahir kepada warga asing adalah satu pengkhianatan besar kepada negara.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit secara langsung atau bersubahat dalam perkara itu.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Ruslin Jusoh untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam apa jua siasatan yang membabitkan kes ini atau kes-kes seumpama.

“KDN bertanggungjawab ke atas proses permohonan kad pengenalan diri di Malaysia. Proses permohonan sedia ada adalah jelas dan semua permohonan yang lengkap akan diproses secara adil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kementerian menasihati orang ramai untuk mengikuti proses tersebut dan tidak sama sekali cuba mendapatkan apapun dokumen melalui saluran yang tidak betul.

Menurutnya lagi, orang ramai mempunyai maklumat mengenai sindiket pengeluaran dokumen secara tidak sah diminta menghubungi PDRM segera.

Setakat ini, seramai 20 individu ditahan termasuk seorang pegawai di JPN Pulau Pinang kerana dipercayai terbabit dengan penjualan MyKad sah dan dokumen kelahiran baru-baru ini.

Kesemua mereka ditahan dalam serbuan dilakukan 19 Ogos lalu oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Bahagian (D14) Siasatan Jenayah Terancang Bukit Aman.

Mereka yang ditahan berumur antara 32 hingga 70 tahun terdiri daripada 17 warga tempatan termasuk dua wanita, masing-masing satu lelaki dan wanita warga China serta seorang lelaki warga India.

Berita berkaitan

1,000 miliki MyKad 'sah'

'Jual MyKad: JPN lakukan siasatan dalaman'

'Jual MyKad: Enam didakwa [METROTV]'

'Senyuman bongkar rahsia'

'20 individu ditahan kes jual MyKad'

'Pegawai kerajaan jual MyKad'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 4:42 PM