TERTUDUH yang dibawa ke mahkamah hari ini. FOTO Norizuan Shamsuddin.
Norizuan Shamsuddin


PENGANGGUR yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini berdepan hukuman mati atas tuduhan memiliki 6.926 kilogram pil kuda, 1 September lalu.

Mohd Faiz Yusof, 35, hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Tertuduh yang berasal dari Kampung Macang, Manir, Kuala Terengganu didakwa memiliki dadah itu di bilik tingkat atas rumah beralamat di Jalan Pulau Bahagia, Kampung Padang Macang pada 7.30 malam, 1 September lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala, tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa.

Mahkamah menetapkan 15 Oktober depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang penganggur tidak sempat mengaut keuntungan menjual 60,000 pil kuda yang dianggarkan bernilai RM600,000 selepas dicekup dalam serbuan di Kampung Padang Machang, Manir, Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 3:55 PM