WARTAWAN menemubual Amir selepas Majlis Penutup Program UMV Trust 2019. FOTO Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid


“SEBAIK dibebaskan dari sekolah bulan depan, saya akan mohon masuk tentera untuk mengubah hidup daripada bekas perompak menjadi perajurit yang bersedia berkorban demi negara.”

Itu tekad Amir, 19, (bukan nama sebenar) pesalah juvenil yang ditahan kerana melakukan rompakan bersenjata berkumpulan dan bakal dibebaskan 25 Oktober ini selepas menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas, Melaka, sejak tiga tahun lalu.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, ketika ini dia begitu teruja dan tidak sabar pulang ke kampung halaman di Sungai Petani, Kedah.

“Sekarang saya sedang melengkapkan diri dengan persiapan memohon memasuki Angkatan Tentera Darat (ATM) untuk pengambilan Januari 2020.

“Saya mahu buktikan kepada semua bahawa pesalah juvenil juga mampu berubah menjadi lebih baik walaupun pernah melakukan kesilapan dulu,” katanya.

Amir adalah antara 50 pelajar SHG yang dipilih mengikuti Program UMV Trust 2019 selama dua hari anjuran UMW Holdings Sdn Bhd di sekolah berkenaan bermula semalam dan berakhir hari ini.

Hadir sama, Pengarah SHG Telok Mas, Penolong Komisioner Penjara Abdul Rahman Taib dan Ketua Jabatan UMW Training Centre Sdn Bhd Che Abdull Kadir Abdullah.

Seorang lagi pelajar, Tini, 15, (bukan nama sebenar) yang dimasukkan ke sekolah pemulihan itu atas kesalahan memiliki barang curi berkata, program dua hari itu mengajarnya membentuk keperibadian yang lebih tinggi.

“Aktiviti yang diadakan mengajar kami erti sabar dan disiplin yang tinggi selain semangat kerja berpasukan untuk menyelesaikan sesuatu isu.

“Ini mungkin bertujuan menambahkan lagi keyakinan diri kami untuk berdepan dengan masyarakat apabila dibebaskan kelak,” katanya.

Sementara itu Abdul Rahman berkata, beliau berharap lebih banyak syarikat swasta dapat membabitkan diri dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti itu.

“Koloberasi program murni sebegini amatlah kita hargai dan berharap lebih banyak syarikat dapat terbabit pada masa hadapan.

“Program komprehensif ini memberi pakej ilmu yang baik kepada pelajar dari aspek karektor, kepimpinan mahupun kerohanian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:27 PM