GAMBAR hiasan
Norizuan Shamsuddin dan Zaid Salim


KANAK-KANAK berusia 12 tahun menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila menjadi mangsa nafsu serakah bapa sendiri.

Bagaimanapun, perbuatan rakus lelaki berusia 41 tahun terbabit terbongkar selepas mangsa didapati hamil ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kuala Terengganu.

Perbuatan terkutuk bapa terbabit berakhir apabila ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Khamis lalu.

Menurut sumber, penahanan suspek dilakukan susulan laporan diterima di Balai Polis Chabang Tiga di Kuala Terengganu berhubung kes rogol kanak-kanak bawah umur.

Katanya, hasil saringan air urin terhadap suspek yang bekerja sebagai buruh binaan terbabit turut didapati positif methamphetamine dan suspek juga memiliki rekod lampau berhubung kes pecah amanah.

“Difahamkan perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh lelaki terbabit di kediaman mereka yang terletak di daerah ini sejak beberapa bulan lalu.

“Kejadian pertama didakwa dilakukan oleh suspek sewaktu anaknya sedang tidur di ruang tamu kediaman mereka, bagaimanapun kanak-kanak terbabit tidak mengingati tarikh berkenaan.

“Selepas kejadian itu lelaki terbabit didakwa mengulangi perbuatan terkutuk itu terhadap anaknya beberapa kali termasuk mencabul mangsa, terutama ketika isteri (ibu mangsa) keluar menjaga nenek kanak-kanak berkenaan yang dikatakan tinggal berdekatan dengan rumah mereka,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian mangsa kini masih di rawat di hospital berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan berhubung kes rogol kanak-kanak bawah umur.

“Suspek ditahan ketika melawat mangsa di hospital berkenaan 7 malam. Suspek ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:45 PM