Pelajar Sekolah Tahfiz Tambak Bugis memakai penutup hidung dan mulut ketika menyertai program gotong-royong perdana di Kampung Bukit Punggor hari ini. FOTO Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid


JEREBU yang merekodkan bacaan udara sangat tidak sihat 7 pagi tadi tidak menghalang kira-kira 200 penduduk mengadakan program gotong-royong perdana di Kampung Bukit Punggor, Alai hari ini.

Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan, Mohd Zin Mohd Siran berkata, program bermula 8 pagi hingga 2 petang itu berjalan seperti biasa dan penduduk serta kira-kira 50 petugas daripada 11 agensi kerajaan dan swasta dibekalkan dengan penutup hidung dan mulut.

“Program bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas Noor Affandi Ahmad ini perlu diteruskan sekalipun berdepan jerebu yang semakin buruk kerana semua persiapan sudah dibuat.

“Kita mengambil semua langkah keselamatan ketika jerebu dan berterima kasih kepada penduduk serta agensi terbabit kerana memberi kerjasama baik sehingga ke akhir program,” katanya.

Sementara itu, bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zaini Mohd Noor yang turut menyertai program itu berkata, isu kebersihan perlu dihayati sepanjang masa, bukan saja ketika program itu diadakan.

“Ketika berkhidmat dulu, itulah yang menjadi prinsip saya supaya kebersihan ini dihayati sehingga ia menjadi budaya yang dipraktikkan sepanjang masa, bukan hanya ketika program gotong-royong.

“Semua peringkat lapisan masyarakat bermula penduduk hinggalah Ketua Menteri perlu memainkan peranan jangka panjang menjadikan negeri pelancongan ini sentiasa bersih bukannya pada ‘musim’ tertentu saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 9:11 PM