LAPORAN portal Harian Metro.


POLIS menahan seorang lelaki di Taman Sri Tebrau di Johor Bahru, kelmarin, selepas tular di media sosial mendakwa lelaki itu cuba melarikan kanak-kanak, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, bertindak atas maklumat dan laporan polis, rumah lelaki itu di Taman Sri Tebrau, diserbu 3 petang, kelmarin.

Beliau berkata, polis menahan lelaki berusia 35 tahun dan siasatan mendapati lelaki itu tiada rekod jenayah lampau.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati dia negatif dadah. Suspek kemudiannya mengaku mempunyai masalah keluarga dengan isterinya yang juga warga Vietnam.

“Suspek mendakwa isterinya itu banyak berhutang dengan along dan mahu pulang ke Vietnam bersama dua anaknya itu.

“Disebabkan tidak dapat mengawal perasaan, suspek mendakwa mahu membawa kedua-dua anaknya pulang ke rumah dan tidak pernah terbabit dengan aktiviti atau sindiket melarikan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, polis menjalankan siasatan dengan teliti dan mendapatkan perintah reman sebanyak dua kali bermula 14 September hingga 17 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan tindakan seorang lelaki mendekati mangsa berusia tiga tahun sebelum mengaku sebagai anaknya dalam kejadian di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu beriadah ditemani keluarganya dan ibu mangsa membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga selepas anak perempuannya berusia 3 tahun cuba diganggu lelaki tidak dikenali itu.

Dalam kejadian ini, mangsa mengatakan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan atau kerugian harta benda dan polis berusaha suspek dengan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan dan cubaan melakukan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Berita berkaitan

Motif mengaku anak?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 9:43 PM