BOT empat pemancing itu yang terdampar selepas enjin rosak. FOTO Ihsan APMM.
EMPAT pemancing yang diselamatkan. FOTO Ihsan APMM.
Zuliaty Zulkiffli


EMPAT pemancing berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas bot dinaiki mereka rosak dan terdampar di kawasan berbatu dekat Pulau Tukun Terendak, Yan, semalam.

Mereka yang berasal dari Pekan Baru Sungai Petani turun ke laut menaiki bot fiber sebelum bot itu mengalami masalah enjin dan hanyut berikutan cuaca buruk.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.20 petang dan sebuah bot APMM bersama empat anggota digerakkan ke lokasi itu.

Katanya, sebaik tiba anggotanya sukar menghampiri pulau itu yang berbatu.

“Pasukan penyelamat kami dibantu nelayan yang yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk mengambil mangsa.

“Semua mangsa yang berusia antara 18 hingga 25 tahun berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahmad Faizal berkata, mangsa kemudian dibawa ke pejabat Zon Maritim Kuala Kedah.

Beliau menasihati orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut supaya menitikberatkan aspek keselamatan dan sebarang kecemasan boleh dilaporkan ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 10:20 AM