GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamad Hussin


KERAJAAN tidak akan menaikkan harga minyak buat masa ini walaupun jangkaan berlaku kenaikan harga minyak dunia berikutan serangan terhadap loji minyak Aramco di Arab Saudi yang memberi kesan kepada bantuan subsidi negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan melihat perkembangan dunia sebelum membuat keputusan drastik hingga membebankan pengguna.

Beliau berkata, syarikat minyak Petronas akan terkesan sekiranya harga minyak dunia mengalami kenaikan berikutan serangan loji penapi dan telaga minyak di Arab Saudi.

“Ia tentu akan memberi kesan kepada negara dan pengguna daripada segi subsidi. Saya tidak mahu buat andaian apa yang berlaku.

“Saya tidak mahu buat reaksi terlalu cepat hanya berdasarkan perkembangan dua tiga jam atau satu dua hari ini.

“Kita perlu mengkaji lebih mendalam. Buat masa ini tidak ada kenaikan. Tetapi kita kena lihat perkara lain berdasarkan perkembangan dengan asas kukuh dan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) di Menara Hasil, Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

Harga runcit petrol petrol RON95 yang kini ditetapkan pada paras RM2.08 tidak akan dinaikan buat masa ini.

Semalam, media melaporkan Arab Saudi dilaporkan menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Yaman yang menjejaskan kira-kira separuh pengeluaran keseluruhan syarikat berkenaan.

Serangan itu menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais, kata Menteri Tenaganya, Putera Abdulaziz Salman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 1:03 PM