MENARA jam di Bangunan Sultan Abdul Samad. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

BUNYI dentingan jam besar bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka tepat 12 tengah malam pada tanggal 31 Ogos, setiap tahun tidak akan kedengaran jika tanpa penjaganya.

Malah bunyi jam yang kini mencecah 122 tahun itu kemungkinan tidak kedengaran lagi sebagai simbolik sambutan kemerdekaan negara untuk generasi seterusnya, jika tiada insan berjiwa besar yang sukarela mahu menyelenggara dan mengendalikan jam itu secara manual setiap hari.

Jam buatan Gillet and Johnston Manufacturers di Croydon, England pada 1897 itu berfungsi sehingga kini dan menjadi saksi saat Union Jack diturunkan dan bendera Malaysia dinaikkan buat pertama kali di Dataran Merdeka.

Ketua penjaga jam besar Mohd Rosli Mat Tajuddin, 42, berkata, beliau menawarkan diri untuk menjaga jam itu, tiga tahun lalu atas dasar minat dan sayangkan negara.


MOHD Rosli (dua kanan) dan Mohd Rashidi (kanan) ketika Bual Bicara, Di sebalik Gema Menara Jam Sultan Abdul Samad, hari ini. FOTO BERNAMA.

“Saya dan tiga lagi rakan iaitu Mohd Rashidi Jaluddin, L Kumarasamy dan Rosdi Hisham Hassan, yang juga pekerja di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) akan bergilir-gilir, setiap hari.

“Kami akan memutar engkol jam bagi menggerakkan kedua-dua pemberat jam dengan jumlah berat 453 kilogram.

“Kami ambil masa tiga bulan untuk belajar teknik penjagaan jam itu daripada generasi sebelumnya dan perlu mendaki tangga setinggi lima tingkat, setiap hari untuk memutar engkol dan meminyakkan gear jam.

“Selain itu perlu memeriksa keadaan keseluruhan menara yang menempatkan jam itu,” katanya semasa program bual bicara Di sebalik Gema Menara Jam Sultan Abdul Samad terbitan Bernama News Channel, hari ini.

Program itu, antara pengisian BERNAMA dalam usaha mencatat rekod Siaran Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) 2019 bersempena Hari Malaysia.

Sementara itu, Mohd Rashidi berkata, beliau berbangga menjadi antara orang penting di sebalik ikon yang mempunyai nilai sentimental sebagai satu daripada tinggalan sejarah negara.

“Walaupun kerja hakiki saya sebagai juruteknik JUPEM tetapi saya tidak kisah untuk meluangkan lebih masa setiap hari selepas waktu bekerja untuk menjaga jam itu.

“Saya akan pastikan jika ada kerosakan, kita akan buat laporan segera agar ia dapat dibaik pulih. Ada beberapa kali jam itu berhenti dan loceng tidak berbunyi mengikut waktu yang sepatutnya.

“Malah ada aduan daripada pelancong mengatakan jam itu tidak menunjukkan waktu sebenar. Itu yang menguatkan lagi kesungguhan saya,” katanya yang mengetuai operasi penjagaan menara jam itu.

Mohd Rashidi berkata, meskipun tugas itu tidak berbayar namun, ia tetap memberi kepuasan buat dirinya apabila berjaya membunyikan jam pada upacara penting seperti sambutan Hari Kemerdekaan, Perarakan Citrawarna Malaysia, Sambutan Tahun Baru, Mengarak Panji-Panji Diraja dan seumpamanya.

Beliau berharap jam bersejarah itu mampu terus dikekalkan dan dipelihara sebaik-baiknya dalam bentuk asal untuk dihayati generasi akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 3:06 PM