FOTO hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan


PERBANDINGAN harga minyak masak yang tular di laman sosial antara pengeluar adalah satu persaingan sihat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, sebagai pengguna mereka perlu membuat pilihan bijak.

Katanya, pihaknya hanya mengawal harga bagi barangan kawalan termasuk harga minyak masak paket.

“Bagi produk lain, penentuan harga ditentukan melalui penawaran dan permintaan termasuk margin keuntungan.

“Jika sesuatu produk mempunyai permintaan tinggi, namun terhad di pasaran pasti harganya naik dan begitu juga sebaliknya.

“Namun jika perbezaan harga ketara bagi sesuatu produk bukan barangan kawalan pengguna boleh membuat pilihan dengan memilih jenama dikehendaki mengikut kehendak masing-masing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbandingan harga termasuk senarai nama syarikat pengeluar yang tular di laman sosial sejak kebelakangan ini.

Senario perbandingan harga berlaku disebabkan kempen dijalankan pihak tertentu termasuk beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Minyak masak lima kilogram (kg) antara barangan popular tular di laman sosial dan ada netizen mendakwa bahan masakan itu disorokkan segelintir peniaga untuk mempromosikan jenama produk tertentu.

Mengulas lanjut, Muhamad Zikril berkata, pengguna yang mendapati peniaga yang menyorokkan sesuatu produk untuk memperoleh keuntungan dikehendaki segera melaporkan kepada pihaknya.

“Pihak kami akan melakukan siasatan dan jika didapati bersalah, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 4:49 PM