FOTO hiasan
Nur Izzati Mohamad


CADANGAN penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual adalah sebahagian usaha memulihkan ekonomi negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, dengan langkah itu kerajaan dapat mencairkan keadaan ekonomi negara dan membuka lebih peluang kepada pemaju merancakkan projek pembangunan perumahan mampu milik di negara ini.

Beliau berkata, masih terdapat segelintir individu kurang memahami konsep ekonomi negara dan terus memberi kritikan berhubung pelaksanaan cadangan ini.

“Konsep ekonomi negara apabila melihat keadaan seperti ini, kita harus cuba selesaikan antaranya dengan mencairkannya demi memulihkan ekonomi dan industri perumahan.

“Sekiranya ia terbeku di situ sahaja akan menyebabkan 140 industri hiliran yang terbabit dengan pembangunan industri perumahan terjejas dan perlu diatasi segera,” katanya yang ditemui selepas Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Penyerahan Watikah Pelantikan Datuk Bandar di Kepala Batas, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan dilemparkan beberapa pihak yang kurang senang berhubung penjualan rumah mewah didakwa banyak dijual kepada warga China dan Hong Kong.

Menurutnya, penjualan rumah itu kelak tidak akan dilakukan dengan mudah kerana mengikut prosedur ditetapkan.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Pelancongan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti semula pakej Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan melihat penambahbaikan yang boleh dibuat sama ada bersesuaian dengan pelaksanaan cadangan penganjuran HOC itu,” katanya.

Zuraida berkata, melalui proses pencairan dengan penjualan rumah mewah tidak terjual membolehkan pihak bank dapat menerima bayaran daripada pemaju.

“Ini sekali gus merancakkan lagi aktiviti ekonomi, pekerjaan termasuk merancakkan projek rumah mampu milik yang kerajaan ingin laksanakan,” katanya.

Baru-baru ini , Zuraida mencadangkan kempen HOC bagi menarik pembeli dari China dan Hong Kong untuk menyelesaikan isu lambakan rumah mewah di negara ini yang bernilai kira-kira RM100 bilion.

Katanya, ia menjadi tanggungjawab KPKT untuk memastikan rumah berkenaan terjual dalam mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai landskap yang baik.

“Cuba bayangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya kita tidak habiskan jualan hartanah yang tidak terjual ini pasti landskap negara dipenuhi bangunan terbengkalai, kotor dan uzur.

“Jadi, adakah kita mahu melihat keadaan Malaysia seperti itu?” soalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 6:06 PM