Nazarudin berhenti di satu lokasi ketika mengelilingi semenanjung April lalu. FOTO Ihsan Nazarudin Radzi
Ekhwan Haque Fazlul Haque


MENGGUNAKAN motosikal berusia 40 tahun bukan penghalang buat peminat motosikal antik mengelilingi Semenanjung Malaysia.

Bagi Nazarudin Radzi, 31, hasrat menunggang motosikal Honda Cub dengan keupayaan enjin 86 CC itu sudah lama diidamkan bagi

mencari kelainan berbanding apa yang kebiasaannya dilakukan kumpulan bermotosikal untuk berkonvoi.

Menurutnya, motosikal yang dikeluarkan pada 1979 itu dibeli daripada bapa kenalannya berharga RM600 selepas dilihat tersadai

kerana tidak digunakan sejak beberapa tahun lalu.

“Motosikal ini lebih dikenali sebagai ‘Honda Bulat’ dan saya membelinya pada 2013 selepas rakan menawarkan motosikal ayahnya yang sudah tidak digunakan.

“Saya berkemahiran membaiki motosikal kemudian membaiki enjin namun badan motosikal dan cat dibiarkan dalam keadaan asal

tanpa ditambah baik bagi mengekalkan keasliannya,” katanya.

Nazarudin berkata, beberapa tahun selepas menggunakan motosikal itu idea untuk mengelilingi negara timbul selepas disuarakan

beberapa rakan lain yang juga peminat motosikal lama.

Katanya, sepanjang penjelajahan lebih 2,400 kilometer pada hujung April lalu tiada sebarang masalah berlaku pada motosikal

itu walaupun berusia 40 tahun.

“Saya hanya memastikan minyak enjin ditukar beberapa kali untuk mengelak enjin kepanasan selain membawa pelbagai

peralatan pembaikan sebagai persediaan jika berlaku kecemasan.

“Saya mengelilingi semenanjung bermula dari Kajang sebelum ke kawasan selatan dan pantai timur seterusnya menuju ke utara

dalam tempoh seminggu penjelajahan,” katanya yang bertugas sebagai juruteknik sebuah syarikat pembekalan air.

Menurutnya, kepuasan bukan saja diperoleh kerana berjaya melengkapkan penjelajahan namun apa lebih penting ramai peminat

motosikal antik mahu mengikut jejaknya mengelilingi Malaysia menggunakan ‘Honda Bulat’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 7:15 PM