Lawatan Muhyiddin ke AS memperkukuhkan hubungan dengan AS. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

MALAYSIA berusaha memperkukuhkan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) di tengah cabaran keselamatan yang timbul akibat isu seperti keganasan dan kebimbangan mengenai perkara seperti pemerdagangan orang dan migrasi secara haram apabila Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu dengan pegawai kanan AS.

Muhyiddin tiba Ahad di ibu negara AS itu untuk lawatan kerja sehingga Rabu sebelum terbang ke New York untuk mesyuarat sama dengan pegawai AS di sana.

Jadual lawatan Muhyiddin untuk Isnin menyaksikan beliau melawat ibu pejabat Keselamatan Dalam Negeri AS untuk berunding dengan Pemangku Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Kevin McAleenan dan melawat Pusat Saringan Pengganas Amerika Syarikat (TSC).

Muhyiddin juga akan menghadiri forum kepemimpinan di Centre for Strategic and International Studies dan pada forum itu, beliau dijangka berkongsi pandangannya mengenai hubungan strategik Malaysia-AS.

Program lain Muhyiddin di Washington DC dalam beberapa hari akan datang termasuk bertemu Duta Amerika Syarikat bagi Pemerdagangan Orang John Cotton Richmond serta pegawai kanan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Agensi Perisik Pusat (CIA), Kastam dan Perlindungan Sempadan serta Jabatan Keadilan (DOJ).

“Ini adalah lawatan kerja yang diatur untuk saya datang ke Washington dan New York bertujuan merapatkan hubungan dua hala dalam bidang keselamatan antara AS dan Malaysia yang memang terjalin sejak dulu lagi,” katanya menjelang mesyuarat peringkat tertinggi dan lawatan ke institusi utama keselamatan AS.

Muhyiddin menegaskan Malaysia mempunyai hubungan baik dengan agensi keselamatan yang terkenal dunia seperti FBI dan CIA, dengan menjalin kerjasama merangkumi bidang seperti pertukaran maklumat, latihan dan langkah membina kapasiti lain.

Kerjasama sedemikian perlu memandangkan negara tidak boleh leka dalam isu keganasan ketika ia berusaha untuk memastikan agensi keselamatannya dilengkapi dengan alat yang diperlukan, lebih-lebih lagi ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan pengganas seperti Daesh.

Kesiapsiagaan Malaysia dan pengumpulan maklumat risikan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 495 orang dari 2013 hingga Ogos 2019 berhubung pembabitan mereka sebagai anggota, perekrut, pembiaya atau bersimpati dengan Daesh.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 333 warga Malaysia dan 162 rakyat asing.

Oleh kerana senario keselamatan menimbulkan lebih banyak cabaran pada masa kini, Muhyiddin percaya bahawa Kuala Lumpur masih mempunyai banyak perkara untuk belajar dari Amerika Syarikat dan bagaimana untuk menanganinya.

“Kita jangka keadaan (keselamatan) yang kita tahu sekarang ini agak lebih mencabar, maka kerjasama dengan AS terutama cara menguruskan masalah berkaitan keganasan, isu pemerdagangan orang atau migran itu boleh kita pelajari termasuk teknologi yang mereka gunakan untuk menangani masalah sebegini,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan lawatan ke pusat saringan pengganas membolehkan beliau melihat secara lebih dekat teknologi yang digunapakai untuk mengenal pasti pengganas atau mereka yang mempunyai kecenderungan sedemikian.

“Ini selari dengan langkah yang sedang kita ambil untuk menguruskan sistem imigresen terbaharu yang sedang kita siapkan sekarang ini,” katanya.

Di New York, Muhyiddin dijangka bertemu dengan pegawai Jabatan Polis New York dalam kunjungan sambil belajar untuk melihat sama ada Malaysia boleh mencontohi beberapa inisiatif yang dilaksanakan untuk pencegahan jenayah.

“Pendek kata dalam tempoh beberapa hari saya di AS ini kita harap kita boleh memperkukuh hubungan kerjasama dalam bidang keselamatan dan mempelajari perkara baharu serta bertukar pandangan dengan pemimpin mereka,” katanya.

Dalam lawatan sehingga 21 September itu, Muhyiddin diiringi isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta pegawai Kementerian Dalam Negeri serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 9:31 PM