Dr Mahathir, Abdul Taib, Abang Johari serta Shafie memukul gendang sebagai simbolik perasmian Majlis Sambutan Hari Malaysia 2019. FOTO L Manimaran
Mohd Roji Kawi dan Garret Dawum dan Goh Pei Pei


SARAWAK akan sentiasa berada dalam Malaysia, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Beliau berkata, jika terdapat masalah ia dapat diselesaikan dalam semangat kekeluargaan, bak kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit.

“Biarpun kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berada di platform politik berlainan, saya yakin dan percaya perkara itu tidak akan menghalang kerjasama kami.

“Kita perlu untuk terus bekerjasama bagi kepentingan rakyat serta negara. Hari ini Malaysia sudah wujud selama 56 tahun,

“Malah saya mengalu-alukan pendekatan Perkongsian Kemakmuran yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 9 Mei lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Malaysia 2019 yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih di Stadium Perpaduan di Kuching malam ini.

Majlis sambutan itu dihadiri lebih 7,000 orang dan dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pemimpin pusat serta negeri.

Lokasi sambutan kali ini yang dirancang untuk diadakan di Padang Merdeka terpaksa ditukar kepada kawasan bertutup berikutan negeri itu dilanda jerebu sejak Ogos lalu.

Simbolik Hari Malaysia disempurnakan dengan acara memukul Gendang Perpaduan dengan penuh semangat oleh Taib bersama tetamu kenamaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 11:17 PM