IBU kepada kanak-kanak yang dilahirkan pada Hari Malaysia menerima sumbangan pada Program Meraikan Anak Malaysia bersama CO-OP Bank di HSNZ, semalam.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KUALA TERENGGANU: “Sepatutnya saya bersalin pada 12 September, tapi anak dilahirkan pada tarikh keramat sempena Hari Malaysia dan ia rezeki saya dan suami,” kata Fatil Ismaliza Kamarudin, 25, seorang daripada 16 ibu yang melahirkan anak sempena Hari Malaysia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Dia yang tinggal di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak melahirkan bayi perempuan seberat tiga kilogram (kg) pada jam 7.57 pagi.

Fatil Ismaliza berkata, dia tidak menjangka anak keduanya itu dilahirkan sempena Hari Malaysia dan berasa sangat bertuah.

“Rupa-rupanya kelewatan ditanggung kerana melebihi waktu itu memberi rezeki dan kegembiraan yang lebih kepada saya serta keluarga.

“Bimbang juga apabila anak tidak dilahirkan pada waktu sepatutnya, namun sekarang bersyukur kerana ia dilahirkan pada Hari Malaysia.

“Selepas ini, kami sekeluarga akan menyambut dua kegembiraan pada tarikh sama iaitu meraikan Hari Malaysia dan turut meraikan hari lahir anak kedua,” ketika pada Program Meraikan Anak Malaysia bersama CO-OP Bank di HSNZ di sini, semalam.

Seorang lagi ibu, Nurul Hani Hashim, 34, dari Kampung Paloh turut berkongsi kegembiraan sama kerana melahirkan anak keempatnya pada Hari Malaysia.

Menurutnya, biarpun dia mempunyai pengalaman tiga kali melahirkan anak, namun tetap bimbang apabila anak keempatnya itu tidak dilahirkan pada tarikh dijangkakan.

“Pada mulanya saya bimbang jika ada komplikasi terhadap kandungan apabila anak tidak dilahirkan pada hari dijangkakan.

“Tarikh dijangka pada 14 September, tetapi terlewat hingga hari ini,” katanya.

Katanya, dia berhasrat menamakan anaknya itu dengan nama yang mempunyai kaitan dengan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, sehingga jam 12 tengah hari, seramai 28 bayi dilahirkan di lima hospital di lima daerah di seluruh negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:31 AM