Raja Noraina Raja Rahim


SEMUA sekolah di Port Dickson diarah tutup berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan bacaan sangat tidak sihat, pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan IPU jam 6 pagi tadi.

“Bacaan IPU di Port Dickson ialah 203 pagi tadi maka kesemua murid dan pelajar sekolah di Port Dickson tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

“Manakala guru masih perlu hadir ke sekolah tetapi dengan memakai penutup hidung dan mulut,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Mohamad Rafie berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) akan terus memantau keadaan dan akan membuat makluman dari semasa ke semasa.

Berdasarkan bacaan yang dipaparkan di laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU tidak sihat terus menunjukkan peningkatan.

Setakat jam 8 pagi ini, IPU di Port Dickson menunjukkan bacaan 211, manakala Nilai pula menunjukkan bacaan IPU 199 diikuti Seremban 174.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 8:44 AM
KESEMUA murid dan pelajar sekolah di Port Dickson tidak dibenarkan hadir ke sekolah. FOTO Iqmal Haqim Rosman