MURID memakai topeng muka apabila sesi persekolahan dibuka semula selepas ditutup berikutan keadaan berjerebu di Sekolah Kebangsaan Parit Bunga, Tangkak. FOTO Adi Safri
Khairul Najib Asarulah Khan


TINDAKAN tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka, sepanjang musim jerebu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, setakat ini, tiada sebarang notis atau kompaun dikeluarkan kepada peniaga.

Katanya, tindakan boleh diambil kepada mana-mana pihak yang menaikkan harga secara tidak munasabah, mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sehingga kini, terdapat 78 premis perniagaan yang menjual topeng muka termasuk farmasi dan kedai runcit sudah diperiksa namun kita tidak mengesan sebarang kenaikan harga.

“Harga runcit bagi topeng muka yang digunakan untuk perubatan atau pembedahan ditetapkan di antara 20 sen hingga 80 sen seunit di mana perbezaan harga itu bergantung pada lapisan topeng muka berkenaan.

“Bagi topeng muka N95 pula bernilai RM6 seunit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua harga topeng muka itu dikawal KPDNHEP dalam memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan semasa jerebu, pada ketika ini.

“Pihak kami akan sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan berkala terutama di premis berkaitan dalam memastikan peniaga mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat peniaga yang menjual topeng muka itu dengan harga yang mahal boleh menyalurkan aduan kepada pihak kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 2:36 PM