PENDUDUK menerima bekalan air bersih dari lori tangki air Air Selangor di Kampung Bukit Darat, Tanjong Kling. FOTO Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid


“SEJAK 25 tahun tinggal di sini, inilah kali pertama rumah saya terputus paip bekalan air bersih selama lebih seminggu sejak 8 September lalu,” kata penduduk Kampung Bukit Tempayan, Melaka, Hazmi Bakar.

Pesara tentera berusia 53 tahun itu berkata, dia sudah letih terpaksa menghubungi talian hotline Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) setiap hari sejak lebih seminggu lalu tetapi menerima jawapan sama.

“Setiap kali telefon, jawapan adalah “empangan kering, kita tunggu sekiranya ada hujan” tanpa diberikan penjelasan apakah pelan penyelesaian lain yang sedang diusahakan.

“Sekarang ini penduduk di kampung saya ini tertanya tanya apakah situasi ketiadaan air ini menyebabkan air dicatu ataupun tidak dan mengapa mengambil masa terlalu lama berbanding sebelum ini yang juga pernah berlaku kemarau panjang,” katanya ketika ditemui media, malam tadi.

Lebih membimbangkannya adalah mengenangkan nasib mengadakan kenduri kahwin anak perempuannya bulan depan jika situasi itu berlarutan.

“Sabtu lalu, ipar saya terpaksa menggunakan pinggan pakai buang untuk majlis kenduri kahwin yang menyebabkan kos perbelanjaan majlis meningkat.

“Saya harap kerajaan negeri tidak menyembunyikan sesuatu dan segera menyelesaikan isu ini sebelum rakyat menjadi muak dengan mereka selepas ini,” katanya.

Penduduk di Kampung Bukit Darat, Nor Nabila Md Jali, 23, pula mempersoalkan alasan “empangan berlainan” digunakan SAMB untuk kawasan yang mempunyai bekalan air, walaupun cuma terletak beberapa meter dari rumahnya yang sudah terputus bekalan asas itu sejak enam hari lalu.

“Saya boleh terima bila diberi alasan empangan tak ada air, tapi mengapa kawasan Kampung Balik Bukit yang terletak berada di kawasan berhampiran ada bekalan air?

“Kerajaan negeri tolonglah, keadaan kami betul-betul susah sekarang ini diburukkan lagi dengan cuaca berjerebu menjadikan sumber air umpama ‘nyawa’ buat kami,” katanya menahan sebak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 2:46 PM