TINJAUAN jerebu di LRT Damai Kuala Lumpur. FOTO Salhani Ibrahim
Irwan Shafrizan Ismail


BERLAKU peningkatan 20 hingga 30 peratus pesakit berkaitan penyakit konjunktivitis (mata) di 42 hospital kerajaan seluruh negara akibat kesan jerebu teruk yang melanda negara.

Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah berkata, peningkatan itu adalah keadaan biasa setiap kali musim jerebu melanda negara.

“Kita dapati peningkatan 20 hingga 30 peratus pesakit di klinik mata kerajaan bagi mendapatkan rawatan mata akibat jerebu.

“Contoh bagi Hospital Shah Alam sahaja, beza bulan lalu dan bulan ini, kes berganda daripada 40 kes kepada 80 kes sehari yang datang dengan masalah konjunktivitis.

“Tapi, kami sentiasa bersedia dengan keadaan ini kerana tahu masalah ini berlaku setiap tahun,” katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Yang Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit di Putrajaya, hari ini.

Majlis itu dilancarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mengulas lanjut, Dr Nor Fariza berkata, kebiasaannya pesakit datang selepas mengalami simptom sakit mata, seperti mata gatal dan kering.

“Selalunya pesakit mengalami gejala mata kering dan mereka akan membeli ubatan sendiri, namun apabila masalah berlarutan sehingga mata mengalami gatal dan kemerahan baru mereka akan datang rujuk kepada klinik mata kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diminta supaya mengurangkan aktiviti luar rumah yang boleh memberi kesan kepada kesihatan, terutama mereka yang menghidap asma.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, fasiliti kesihatan di seluruh negara sentiasa bersiap siaga dalam menangani peningkatan mendadak pesakit akibat jerebu.

Katanya, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah akan memberi kenyataan berkaitan jerebu termasuk di laman Facebooknya dari semasa ke semasa.

Masalah jerebu teruk yang melanda negara menyebabkan sekolah di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Sarawak ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 2:58 PM