Zuliaty Zulkiffli


“KETIKA itu mangsa cuba mengawal lalu-lintas untuk mengelak kesesakan tetapi secara tiba-tiba dirempuh bas ekspres menyebabkan dia jatuh,” kata saksi kemalangan membabitkan anggota polis di Kilometer 62 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar Pendang arah selatan, semalam.

Dalam kejadian 11.10 malam itu, anggota polis terbabit, Sarjan Mohd Syahir Muhammad Noor, 28, dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang cedera di muka akibat dilanggar bas ekspres dari arah belakang.

Menurut saksi yang hanya dikenali sebagai Anuar, 40-an, ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari kampungnya di Jitra menuju ke Kulim dan ternampak kemalangan awal membabitkan sebuah Honda City dengan sebuah lori.

Katanya, dia memberhentikan kenderaannya di tepi jalan beberapa meter dari tempat kejadian kerana cuba membantu mangsa dalam kereta itu.

“Keadaan aliran trafik ketika itu mulai sesak akibat ramai yang memberhentikan kenderaan untuk membantu mangsa sehinggalah anggota polis itu datang memberi bantuan.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan orang ramai yang berada di tempat kejadian terkejut mendengar bunyi kuat menyebabkan anggota polis itu cedera parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anuar berkata, kawasan itu agak gelap mungkin pemandu bas ekspres itu tidak sempat brek atau tidak perasan mangsa berada di lokasi kejadian.

Namun katanya, dia berharap semua mangsa selamat dalam kemalangan itu.

Dalam kejadian itu, anggota polis terbabit yang cedera di muka dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan lanjut.

Turut mengalami kecederaan pemandu Honda City yang juga anggota polis, Konstabel Muhamad Qushairi Abd Ghani, 31, yang bertugas di IPD Selama, Perak, mengalami luka di tangan manakala isteri dan dua anaknya hanya mengalami cedera ringan.

Pemandu lori dan bas ekspres itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Berita berkaitan

Polis parah dirempuh bas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 3:06 PM