Pertemuan semula 30 bekas guru lelaki Bahasa Melayu dari semenanjung. FOTO Ihsan Zainal Rahim
Garret Dawum


PERTEMUAN semula 30 bekas guru lelaki Bahasa Melayu dari semenanjung sempena Hari Malaysia mengimbau kembali nostalgia lebih 40 tahun lalu ketika mereka mula menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang.

Acara itu yang diadakan selama empat hari di Kuching dimeriahkan dengan kehadiran isteri masing-masing termasuk lawatan ke lokasi menarik dan perjumpaan bersama bekas pelajar.

Bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Stampin, Zainal Rahim, 65, berkata, perjumpaan itu bukan saja mengimbau kenangan tetapi mengeratkan silaturahim antara mereka terutama bagi yang sudah kembali ke semenanjung.

“Kami adalah barisan guru yang mendapat latihan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan dihantar ke Sarawak bagi mengajar serta memartabatkan Bahasa Melayu sekitar 1970-an.

“Kedatangan kali pertama ketika itu sangat mencabar kerana kami terpaksa berdepan dengan pelajar yang tidak fasih dalam Bahasa Melayu standard dan kebanyakannya menggunakan dialek tempatan,” katanya.

Zainal yang bersara wajib pada 2009 berkata, dia datang ke Sarawak pada 1975 dan bertemu jodoh dengan gadis tempatan serta kini mempunyai tiga anak berusia 32 hingga 43 tahun.

“Saya membawa keluarga ke negeri asal iaitu Ipoh Perak sekitar 1979 kerana bertukar ke sana.

“Selepas 40 tahun tidak datang ke Kuching, kehadiran semula sejak Sabtu lalu mengubat kerinduan saya terhadap bandar raya ini yang semakin maju dan moden.

“Malah saya juga terkejut dengan sekolah lama yang pernah diajar saya sudah bertukar nama ke SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan pertambahan bangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 1:52 AM