BANGUNAN Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam. FOTO Faiz Anuar/ Arkib NSTP
BERNAMA

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) akan menangguhkan sesi kuliah di kesemua 35 cawangan institusi itu sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 250.

UiTM dalam satu kenyataan memberitahu, ini kerana sebarang penangguhan sesi kuliah perlu dibuat selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Bencana Jerebu dalam Pelan Tindakan Kecemasan universiti itu.

“Sebarang keputusan rasmi penangguhan sesi kuliah hanya akan dibuat sekiranya bacaan IPU melebihi 250 dan keputusan rasmi penutupan kampus pula akan dikeluarkan apabila bacaan IPU melebihi 300,” kata kenyataan itu.

Tambah UiTM, operasi di semua kampusnya di seluruh negara membabitkan lebih kurang 180,000 pelajar masih berjalan seperti biasa dan tiada sebarang penangguhan kuliah dilakukan buat masa ini susulan situasi jerebu yang melanda negara.

Dalam pada itu, Universiti Selangor (Unisel) pula turut memaklumkan bahawa operasi dan sesi kuliah di dua cawangannya iaitu di Seksyen 7 di Shah Alam dan Bestari Jaya, Kuala Selangor masih berjalan seperti biasa.

Jurucakap universiti itu memberitahu, pihak pentadbiran Unisel sentiasa memantau situasi jerebu dan sebarang perkembangan mengenai sesi kuliah dan operasi institusi itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Management & Science University (MSU) Shah Alam memberitahu operasi kampus dan sesi kuliah juga masih berjalan seperti biasa dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 11 pagi ini, bacaan IPU di Shah Alam menunjukkan tahap sangat tidak sihat iaitu 219, selain Petaling Jaya (206), Johan Setia, Klang (257) manakala kawasan lain mencapai bacaan tidak sihat iaitu Kuala Selangor (191), Klang (198) dan Banting (180).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 11:57 AM