TINJAUAN sekitar Sentul, Kuala Lumpur yang terjejas akibat jerebu petang semalam. FOTO Zunnur Al Shafiq
BERNAMA

BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 1 tengah hari hingga 6 petang semalam adalah tidak tepat ekoran terdapat gangguan teknikal di pusat data, kata Jabatan Alam Sekitar (JAS).

JAS dalam kenyataan hari ini berkata gangguan teknikal di pusat data itu dikesan berlaku pada 1 tengah hari semalam.

“JAS sudah mengenal pasti punca yang telah menyebabkan gangguan teknikal yang berlaku dan akan memastikan ia tidak akan berulang,” kata jabatan itu.

IPU Putrajaya pada 11 pagi ini mencatatkan bacaan 198 iaitu tahap tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat); manakala 300 ke atas berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 12:13 PM