PESAWAT Bombadier CL-415 APMM. FOTO arkib NSTP/ihsan APMM
Mohd Roji Kawi


PESAWAT Bombardier CL- 415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tiba di Kuching, hari ini bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan operasi memadam kebakaran hutan di Sri Aman.

Pengarah APMM Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, pesawat berkenaan berlepas dari Miri pada 9.15 pagi tadi.

Beliau berkata, pesawat itu hanya akan memulakan operasi pemadaman kebakaran sebaik sahaja selesai taklimat operasi yang akan diadakan oleh JBPM di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching, hari ini.

“Kami dimaklumkan keluasan kawasan kebakaran adalah seluas 202 hektar, namun setakat ini hanya 51 hektar kawasan kebakaran yang berjaya dipadamkan,” katanya.

Justeru, beliau yang juga komander pengoperasian pesawat berkenaan meminta orang ramai supaya untuk tidak memburukkan lagi keadaan dengan melakukan pembakaran terbuka.

“Operasi menggunakan pesawat itu akan dilaksanakan sehingga keseluruhan kawasan kebakaran berjaya dipadamkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 12:36 PM