DUA blok bangunan serta restoran di Berjaya Tioman Resort musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


DUA blok bangunan yang menempatkan lapan bilik serta restoran di Berjaya Tioman Resort di Pulau Tioman musnah dalam kebakaran, 2.30 pagi hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, kejadian itu disedari kakitangan resort berkenaan.

Katanya, lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tioman dikerahkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.

“Siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari bilik inap sebelum merebak ke dua bilik berhampiran.

“Kakitangan resort berkenaan cuba memadamkan api namun tidak berjaya berikutan api marak terlalu cepat sehingga memusnahkan bilik karaoke dan juga restoran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemadaman pada peringkat awal menggunakan sumber air dari pili bomba sebelum mendapat bekalan air dari sumber terbuka.

Anuar berkata, dua blok bangunan berkenaan musnah sepenuhnya manakala restoran terbakar 90 peratus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Tindakan pantas anggota mengawal kebakaran dapat mengelak api terus merebak ke bangunan lain dan api dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 9 pagi.

“Kita masih lagi menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 1:07 PM